Jumaat, Oktober 23, 2009

kerana gemuk?


JOANNA Gilbert mengakui dirinya gemuk tetapi itu bukan halangan.


KUCHING 22 Okt. - ''Saya kecewa... cita-cita saya dihalang kerana gemuk,'' itulah luahan Joanna Gilbert, 29, yang diminta berhenti daripada mengikuti kursus di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Rajang, Sarawak.

Beliau yang menganggarkan beratnya 110 kilogram mengakui dirinya gemuk tetapi mempertahankan cita-citanya kerana tiada sebarang arahan dalam surat pendaftaran melarang pelatih gemuk mengikuti kursus perguruan tersebut.

Malah, beliau terpaksa membuat surat menarik diri untuk mendapatkan semula bayaran pendaftaran sebanyak RM300 yang dikenakan untuk pelatih baru.

Menceritakan detik-detik tersebut, beliau berkata, apa yang menyedihkannya ialah apabila dihalang mendaftar masuk mengikuti kursus perguruan tersebut pada 22 Jun lalu.

''Saya ketika itu sedang mendaftar apabila dipanggil ke bilik Timbalan Pengarah IPGM Kampus Rajang yang saya tidak ingat siapa namanya.

''Ketika dalam bilik itu, saya diarahkan untuk menarik diri daripada mengikuti kursus tersebut, saya terdiam kerana terlalu sedih.

''Sedangkan saya masih belum melakukan pemeriksaan doktor. Jika doktor melarang barulah wajar saya menarik diri daripada mengikuti kursus tersebut,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Apa yang menyedihkan katanya, ialah perasaan ibu bapanya yang kecewa apabila tidak dapat menunaikan hasrat untuk menjadi seorang guru.

IPGM Kampus Rajang terletak di Bintanggor iaitu di Bahagian Sibu.

Joanna berkata, tidak ada sebarang larangan seperti pelatih yang gemuk tertera dalam surat tawaran mendaftar.

''Saya kesal dan berharap dengan pendedahan seperti ini, pihak IPGM akan lebih peka dan tidak berlaku perkara yang sama pada orang lain,'' jelas beliau.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda