Jumaat, November 06, 2009

Kelantan harus utamakan rakyat bukan kerajaan PAS negeri

Kerajaan Kelantan harus pentingkan rakyat, bukannya politik kerajaan PAS di negeri itu, kata ahli Parlimen Bebas Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali mengulas kenyataan Exco negeri, Datuk Husam Musa yang tidak mengiktiraf pemberian wang ehsan hasil pengeluaran minyak oleh kerajaan Pusat.

Katanya terpulang kerajaan negeri jika mahu terus membawa isu royalti itu ke mahkamah tetapi ianya bukan boleh diselesaikan dalam masa singkat.

Ibrahim percaya, Husam sebenarnya mahu wang itu diberikan terus kepada negeri supaya boleh mereka gunakan mengikut kehendak kerajaan PAS Kelantan.

“Bagi saya, elok duit itu (wang ehsan) diterima sekarang supaya rakyat cepat dapat faedah. Kalau nak tunggu royalti, kena tunggu kes itu menang dulu. Ini ambil masa tak tahu entah bila. Ibarat sakit, kita kena ikhtiar dulu sebelum dapat doktor pakar,” katanya kepada Agendadaily.

Beliau mengalu-alukan keputusan kerajaan Pusat memberikan wang ehsan pada Kelantan mulai 2010 seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat, Rabu.

“Rakyat Kelantan pasti gembira dan sambut baik keputusan ini. Sukanya ambo,” ujarnya.

Katanya, rakyat Kelantan yang terhimpit ekonomi akan dapat faedah melalui pemberian wang ehsan ini.

Ibrahim juga berharap wang berkenaan diurus tadbir dengan telus, menepati sasaran dan adil kepada semua rakyat Kelantan.- agenda daily

1 ulasan:

Teddybear Cute berkata...

Biasalah tu, mana depa tau berterimakasih?

Kongsi Link Anda