Popular Today

Rabu, April 20, 2011

Iktibar sikap pengundi Melayu Singapura

PENULIS ialah GeoStrategis Institut Teknologi dan Sains GeoSpatial (INSTEG), Universiti Teknologi Malaysia.

ISYARAT paling penting dan begitu jelas mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak adalah pengundi bumiputera yang terdiri daripada masyarakat Melayu/Melanau, Iban, Bidayuh dan Orang Ulu telah memberi sokongan tanpa belah bahagi kepada Barisan Nasional (BN) sehingga mengekalkan majoriti dua pertiga.

Manakala pengundi masyarakat Cina pula terutama sekali di Miri, Bintulu dan Sibu telah mempamerkan kecenderungan yang bertentangan dengan memberi sokongan kepada parti pembangkang DAP.

Ramai yang beranggapan bahawa kecenderungan pengundi Sarawak adalah manifestasi kepada pola pengundi Malaysia secara umumnya dan bakal mempengaruhi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam membuat keputusan mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13.

Tetapi sebenarnya jiran Malaysia iaitu Singapura memerhatikan dengan teliti apa yang berlaku di Sarawak kerana Perdana Menteri Lee Hsien Loong perlu mengadakan pilihan raya selewat-lewatnya Februari 2012. Besar kemungkinan pilihan raya Singapura akan dilaksanakan terlebih dahulu berbanding Malaysia dan ramai menjangkakan sama ada suku ketiga atau keempat 2011.

Singapura amat berminat dengan apa yang telah berlaku di Sarawak kerana pengundi masyarakat Melayu Singapura juga mampu memilih pendekatan seperti yang telah dipamerkan oleh pengundi Cina Sarawak. Walaupun parti Hsien Loong iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP) begitu dominan menguasai senario politik Singapura tetapi kerunsingan mengenai pengundi Melayu tidak pernah luntur.

Pilihan raya umum 2001 umpamanya telah menyaksikan PAP menerima sokongan undi Melayu paling sedikit kerana kegusaran masyarakat tersebut terhadap tindakan memerangi keganasan kerajaan PAP yang dinilai selari dengan sikap anti umat Islam. Tetapi pengundi Melayu Singapura cepat belajar daripada kesilapan 2001 kerana pada pilihan raya 2006, sokongan begitu tinggi telah diberikan kepada PAP.

Pada pilihan raya tersebut dianggarkan 80 peratus pengundi Melayu telah memberi undi mereka kepada PAP. Tidak keterlaluan jika dibuat penilaian bahawa pengundi Melayu sebenarnya telah banyak membantu Hsien Loong meraih 67 peratus undi popular.

Sokongan padu yang diberikan oleh pengundi Melayu kepada PAP pada tahun 2006 adalah kerana kepentingan jangka masa panjang masyarakat minoriti tersebut. Pengundi Melayu Singapura sebenarnya lebih menaruh harapan kepada PAP berbanding dengan parti pembangkang untuk menjamin masa depan yang lebih baik.

Walaupun pengundi Melayu hanya merangkumi 20 peratus daripada keseluruhan pengundi Singapura, tetapi sikap yang telah dipamerkan oleh mereka semasa pilihan raya begitu menarik perhatian berbanding dengan pengundi Cina Sarawak.

Melayu Singapura cuba menyampaikan isyarat kepada PAP bahawa kesetiaan mereka kepada Singapura tidak perlu dipersoal lagi. Terdapat tuduhan bahawa jika mereka menyokong pembangkang, PAP akan menuduh masyarakat Melayu sebagai tidak setia kepada negara. Ini adalah kerana wujud persepsi bahawa PAP itu adalah Singapura dan begitu juga sebaliknya yang sudah lama tertanam dalam jiwa rakyat mereka.

Pengundi Melayu Singapura juga dianggap begitu bersikap pragmatik kerana menggunakan kuasa politik untuk kepentingan masa hadapan mereka. Ini adalah kerana kerajaan PAP tanpa segan silu akan menghukum kawasan pengundi yang lebih cenderung kepada pembangkang.

Ketika melancarkan manifesto pilihan raya PAP beberapa hari lepas, Hsien Loong dengan terus terang menyatakan walaupun pembangunan akan dinikmati oleh semua rakyat Singapura, tetapi keutamaan hanya akan diberikan kepada pengundi yang menyokong PAP.

"Apabila saya perlu membuat keputusan siapa yang perlu didahulukan, maka faktor sama ada anda telah memberi sokongan kepada kerajaan atau tidak sudah pasti memainkan peranan," tegas beliau ketika menekankan kepentingan pengundi menyokong PAP.

Ada juga yang berpendapat bahawa pengundi masyarakat Cina Sarawak mahukan tadbir urus yang lebih baik sehinggakan mereka memilih DAP. Tetapi agak janggal analisis tersebut kerana selama tiga dekad BN telah membuktikan mereka mampu mentadbir Sarawak dengan baik dengan membawa pembangunan walaupun menghadapi cabaran fizikal yang begitu ketara.

DAP pula tidak mempunyai sejarah lampau yang mempamerkan mereka mampu mentadbir sebuah negeri dengan baik dan telus.

Dalam hal ini elok diperhatikan sikap pengundi Melayu Singapura apabila berhadapan dengan isu tadbir urus sebuah kerajaan. Sukar untuk menafikan bahawa ahli parlimen PAP adalah terdiri daripada kalangan yang terbaik kerana parti tersebut menggunakan segala ruang untuk mencari calon yang mampu memenuhi kriteria yang telah ditetapkan. Pemilihan calon PAP untuk bertanding dalam pilihan raya adalah begitu panjang dan kadang kala memenatkan.

Malah sebelum Parlimen dibubarkan, Hsien Loong beberapa hari lepas telah memperkenalkan 24 muka baru yang akan menjadi calon PAP. Bukan sahaja setakat memperkenalkan muka baru, tetapi Hsien Loong dengan yakin menyatakan lima daripada mereka berkemungkinan besar akan dilantik sebagai menteri. Beliau dengan bangga juga memberi jaminan kesemua calon tersebut adalah yang terbaik dipilih dari golongan korporat, penjawat awam, akademik dan tentera.

Sebab itu pengundi Melayu Singapura tanpa berbelah bahagi memilih calon PAP, kerana kewibawaan tadbir urus adalah begitu terjamin sekali kerana bagi pengundi tersebut, kesinambungan pembangunan adalah begitu penting sekali.

Menarik juga jika diteliti pemerhatian Hsien Loong mengenai pengundi yang tidak menyokong PAP. Menurut beliau pengundi seperti ini sebenarnya juga memerlukan pembangunan dan yakin proses tersebut akan diteruskan oleh PAP.

"Mereka ini sebenarnya mengharapkan orang lain mengundi PAP supaya mereka boleh mengundi parti pembangkang. Singapura akan hancur jika semua pengundi mempunyai pendirian sedemikian rupa," sindir Hsien Loong.

Mungkin juga pengundi Cina Sarawak mempunyai pendirian di atas kerana mereka akur bahawa pembangunan tetap akan diteruskan oleh kerajaan BN walaupun mereka mengundi sebaliknya. Sebenarnya banyak iktibar yang boleh dipelajari daripada sikap pengundi Melayu Singapura.

Sumber : Utusan Malaysia

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

PAP dan DAP adalah bersaudara, mari kita beramai-ramai menjatuhkannya

hangkedee berkata...

Ramai melayu singapork penyokong tegar Pork niky

Kongsi Link Anda