Khamis, Mei 29, 2008

Dua skim tambang bas - Pastikan rakyat kurang mampu nikmati caj berpatutan – Najib

Oleh hata wahari

KUALA LUMPUR 28 Mei – Kerajaan akan memperkenalkan dua skim tambang pengangkutan awam terutama bas bagi memastikan rakyat berpendapatan rendah dapat terus menikmati tambang pada kadar berpatutan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dua skim yang akan diperkenalkan oleh kerajaan itu ialah skim tambang biasa dan skim tambang mewah.

“Prinsip yang akan kita gunakan ialah sekiranya khidmat pengangkutan awam itu digunakan oleh mereka yang berpendapatan tinggi atau mewah, kerajaan tidak akan kawal tetapi akan menetapkan harga minimum.

‘‘Bagi sistem pengangkutan awam yang digunakan oleh golongan berpendapatan rendah, sistem dan tambang akan terus dikawal secara berterusan,” katanya.

Najib berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pengangkutan Awam di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) untuk menaikkan tambang bas ekspres, bas henti-henti dan bas mini sehingga 100 peratus berikutan peningkatan kos operasi terutama diesel serta penyelenggaraan kenderaan.

Keputusan menaikkan tambang bas itu dicapai oleh 111 syarikat bas yang menganggotai PMBOA seperti terkandung di dalam memorandum yang diserahkan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar bertarikh 10 April lalu.

Presidennya, Datuk Mohamad Ashfar Ali dalam sidang akhbarnya hari ini berkata, pihaknya berharap kenaikan itu berlaku pada minggu depan seperti yang telah dijanjikan oleh kerajaan pada Oktober tahun lalu.

Katanya, jika cadangan itu tidak dipersetujui kerajaan, berkemungkinan banyak syarikat bas yang akan gulung tikar.

Najib menambah, perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pengangkutan Awam akan datang.

1 ulasan:

Rakyat Malaysia berkata...

Saya faham keadaan ekonomi sekarang ni memaksa peniaga termasuk pengusaha pengangkutan awam menaikkan charge barang atau perkhidmatan mereka.

Namun kerajaan harus mengkaji nilai yg seimbang dimana ia tidak merugikan peniaga dan tidak juga menyusahkan rakyat.

Rakyat pula harus buka mata dan bersedia akan kemungkinan kenaikan berikutan peningkatan harga minyak dunia dan krisis bekalan makanan mendorong kepada perkara yg sama berlaku di Malaysia.

Kongsi Link Anda