Khamis, Mei 29, 2008

Prinsip Pas tubuh negara Islam semakin kabur?

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali selaku salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri telah membuat satu kenyataan yang amat meyakinkan semasa sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 26 Mei lalu. Kenyataan beliau berbunyi: "Tidak pernah berjanji akan menjadikan Malaysia negara Islam, tidak berjanji akan menutup tempat-tempat maksiat; kilang arak dan pusat hiburan".

Adakah kini Pas menukar perjuangan atau memang dari dulu bukan pembentukan negara Islam yang menjadi asas perjuangan mereka?

Jika mereka terpaksa menukar prinsip perjuangan demi Pakatan Rakyat, maka tahniah DAP, dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terutamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jika pada tahun 80-an dahulu, Pas cuba menarik Anwar menyertai mereka tapi gagal, tapi kini ternyata Anwar berjaya menarik Pas menyertai perjuangannya. Adakah ini bermakna Pas akan dibubarkan atau adakah kemungkinan Anwar bakal menjadi Tuan Guru atau Mursyidul Pas yang akan datang?

Jika ini tidak pernah menjadi asas perjuangan Pas, maka tertipulah saya dan kawan-kawan dalam jemaah semasa di universiti dahulu. Pemimpin-pemimpin Pas dalam kaset-kaset yang diedarkan menyatakan UMNO taghut dan sekular kerana tidak menegakkan daulah Islamiah. Masih terngiang-ngiang di telinga kata-kata "Undi UMNO bermakna menolak Pas. Menolak Pas bermakna menolak negara Islam. Maka tidak akan masuk syurga sesiapa yang menolak negara Islam". Berapa ramai anak muda terpengaruh semasa itu sehingga menimbulkan ketegangan dalam keluarga kerana krisis fahaman politik yang berbeza. Apakah rakyat Malaysia sudah lupa ketaksuban politik Pas terhadap UMNO pada tahun-tahun 70-an dan 80-an dahulu sehingga menimbulkan isu kafir-mengkafir.

Saya dan rakan-rakan yang kebingungan kini mengharapkan penjelasan Pas mengenai perkara itu. Mengapakah bersekongkol dengan DAP, ekstremis bangsa Cina dan PKR, gabungan Parti Sosialis dan Parti Keadilan yang memperjuangkan supaya Anwar menjadi Perdana Menteri.

JAMLIAH

Kuala Lumpur

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda