Popular Today

Khamis, Mei 29, 2008

Tidak adil 45% untuk bukan bumiputera

May 29, 08 3:50pm
Membuka peluang besar sehingga 45 peratus kepada bukan bumiputera menikmati biasiswa tidak "mewujudkan keadilan sosial" di negara ini, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Kerajaan semalam mengumumkan pengenalan dasar baru itu untuk biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi program ijazah luar negara berkuatkuasa mulai tahun ini.

Langkah menaikkan peluang tersebut, yang asalnya dengan peratusan 10 bukan bumiputera dan 90 untuk bumiputera, adalah "tidak tepat dan tersasar daripada matlamat" dalam Perlembagaan Persekutuan seperti termaktub sebagai keistimewaan Melayu, kata setiausaha agungnya Khairul Arifin Mohd Munir.

"Mengambil kira tiga faktor, sudah pasti menaikkan peratusan pembahagian biasiswa (untuk) bukan bumiputera kepada 45 peratus, iaitu peratusan hampir sama dengan bumiputera, sama sekali tidak mencerminkan sebuah dasar yang dilaksanakan ke arah mewujudkan keadilan sosial di negara ini," katanya, .

Faktor-faktor tersebut, tambahnya, jumlah penduduk bumiputera lebih tinggi, kadar kemiskinan dalam kalangan bumiputera juga tinggi, dan mereka khususnya di Sabah dan Sarawak masih ketinggalan dalam bidang profesional.

"Adalah jelas bahawa kedudukan bumiputera masih perlu diperkasakan," kata Khairul Arifin lagi.

"Dalam jangka masa panjang, keputusan ini akan terus merugikan dan menyebabkan bumiputera terus ketinggalan di belakang."

Beliau bagaimanapun berhujah, peruntukan hak istimewa bumiputera, khususnya Melayu, bukanlah untuk mengatasi kemiskinan semata-mata tetapi ia menjadi "kontrak sosial dan quid pro quo" antara Melayu dengan kaum-kaum lain menjelang kemerdekaan.

"Maka, walaupun selepas 50 tahun (merdeka), peruntukan ini perlu dipertahankan kerana ia menjadi elemen asasi yang mencirikan Perlembagaan Persekutuan dan pembinaan negara ini," tambahnya.

Abim turut mempertikaikan langkah ini yang dibuat tanpa penjelasan lanjut dan "tergesa-gesa" tanpa kajian terperinci untuk mengenal pasti permasalahan sebenar.

Berlatar senario politik pasca pilihanraya umum 8 Mac, katanya, pertubuhan itu bimbang sentimen perkauman khususnya bumiputera akan memuncak jika mereka tidak menerima penjelasan tersebut.

"Tindakan menaikkan peratusan (bukan bumiputera) ini ... akan menyebabkan banyak pihak, khususnya bumiputera berasa marah dan tidak berpuas hati," katanya.

"(Tanpa penjelasan meyakinkan), secara pasti (dasar baru) akan menimbulkan kesan sentimen perkauman dan rasialisme ... tanpa dielakkan lagi."

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda