Popular Today

Khamis, Mei 29, 2008

Wajar jawab tohmahan

KUALA LUMPUR 28 Mei - Ahli-ahli akademik menyokong tindakan kerajaan yang tidak mahu berdiam diri lagi terhadap laman blog berunsur tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh penulis laman terbabit.

Presiden Institut Perhubungan Awam Malaysia, Prof. Datuk Dr. Hamdan Adnan berkata, tindakan kerajaan itu adalah wajar bagi memastikan negara bebas daripada segala tuduhan yang boleh menghancurkan negara.

''Jika kerajaan hanya berdiam diri dalam menghadapi ledakan tohmahan di laman web dan blog di Internet, ia akan menunjukkan seolah-olah segala tuduhan itu adalah benar,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kerajaan yang tidak akan berdiam diri lagi dalam menghadapi ledakan tohmahan di alam siber yang bertujuan meracuni pemikiran rakyat.

Tambah Dr. Hamdan, kerajaan perlu segera menjawab segala tuduhan atau fitnah yang dilemparkan itu di dalam blog yang membuat dakwaan berkenaan.

Sehubungan itu, katanya lagi, kerajaan perlu menyediakan satu program latihan tentang kaedah-kaedah penulisan blog di kalangan pegawainya supaya ia dapat dilakukan dengan berkesan dan menarik.

Menurutnya, para pegawai penerangan yang terlibat juga perlu lebih agresif dalam melakukan tugas pemantauan blog dan mengambil tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Program Komunikasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dr. Naim Ahmad turut menyokong langkah kerajaan untuk menjawab segala tuduhan berkaitan.

''Kerajaan juga perlu mengambil tindakan terhadap penulis blog yang melemparkan tohmahan yang membangkitkan perkara sensitif di negara ini,'' katanya.

Beliau menambah, pelaksanaan undang-undang terhadap penulis blog juga merupakan perkara yang perlu diberikan perhatian supaya penulisan di dalam Internet dilakukan secara beretika.

Penyelidik Kanan Pusat Penyelidikan Kajian Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Zaharom Nain pula berpendapat, tindakan kerajaan itu wajar sekiranya mereka ingin berinteraksi dengan penulis blog berhubung sesuatu perkara yang ditimbulkan.

Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju sekiranya langkah kerajaan itu dilakukan dengan maksud yang terselindung seperti mahu menghukum atau menindas para penulis blog terlibat.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda