Khamis, Mei 29, 2008

Exco: Beras percuma untuk rakyat S'gor @ penyokong Pakatan Rakyat

Jimadie Shah Othman | May 28, 08 10:50pm
Golongan miskin berpendapatan bawah RM1,500 sebulan di Selangor akan mendapat bantuan beras bagi menampung kenaikan harga makanan ruji itu, kata exco kebajikan negeri Dr A Xavier Jayakumar.

"Kita akan beli RM500,000 beras untuk diberikan kepada golongan miskin dalam negeri Selangor," katanya di sidang media bersama menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas mesyuarat exco negeri di Shah Alam petang ini.

"Dengan kenaikan harga-harga komoditi di Malaysia, (pemberian) ini memberi sedikit pertolongan pada penduduk Selangor (yang berada) dalam kemiskinan."

Bantuan tersebut akan disalurkan melalui wakil-wakil Pakatan Rakyat di kawasan masing-masing kecuali tempat yang dimenangi BN.

Beliau (foto, paling kiri) menambah, kawasan itu akan disalurkan melalui exco kerajaan negeri.

"Exco kita 10 orang ini telah dibahagikan (untuk menyalurkan bantuan) kepada 20 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi BN.

"Mereka (wakil rakyat BN) telah pun menggunakan (90 peratus) peruntukan untuk setahun, dihabiskan dalam masa dua bulan. Yang ini adalah tambahan yang akan digunakan oleh exco-exco tertentu," katanya.

Wakil-wakil rakyat BN dilaporkan membelanjakan lebih 90 peratus daripada peruntukan RM29.5 juta antara Januari hingga Februari sehingga ditegur oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika merasmikan pembukaan persidangan penggal pertama DUN Selangor minggu lepas.

Sementera itu, mengulas peruntukan tambahan untuk kegunaan wakil rakyat selepas perbelanjaan boros BN dahulu, Khalid menjawab:

"Penggunaan Adun (ahli DUN) akan datang kita sudah bagi. Kita sudah bagi serupa macam dulu dan tiap-tiap DUN mendapat peruntukan sebanyak RM375,000," katanya.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda