Khamis, Mei 29, 2008

Ekonomi kita tumbuh 7.1 peratus

Oleh Ainul Asniera Ahsan

KUALA LUMPUR 28 Mei - Ekonomi Malaysia terus menunjukkan prestasi mampan apabila mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 7.1 peratus bagi suku pertama tahun ini berbanding 5.5 peratus untuk tempoh yang sama tahun lalu.

Malaysia mencatat KDNK sebanyak 6.3 peratus pada 2007 dan 5.9 peratus pada 2006. Unjuran awal KDNK negara pada tahun ini ialah pada kadar enam peratus.

Malah ekonomi Malaysia diunjur terus berkembang pada separuh kedua 2008 meskipun terpaksa berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi global.

Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, ekonomi negara dijangka mampu berdaya tahan menerusi sokongan pertumbuhan permintaan dalam negeri yang mampan dan ia diperkukuhkan oleh peningkatan dalam perdagangan.

‘‘Berikutan itu, setakat ini Malaysia tidak perlu merangka pelan rangsangan ekonomi,’’ katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan prestasi ekonomi negara bagi suku pertama 2008 di sini hari ini.

Menurut beliau, selain sokongan berterusan daripada permintaan domestik, Malaysia juga memiliki kelebihan daripada kepelbagaian struktur ekonomi.

‘‘Kita ada komoditi, Malaysia juga pengimport bersih minyak, kaya dengan sumber asas yang menjana ekonomi ...semua faktor ini akan memberi sumbangan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara,’’ ujar beliau.

Menyentuh tentang prestasi KDNK suku pertama, Zeti berkata, momentum pertumbuhan kukuh itu didorong oleh pengembangan dalam perbelanjaan penggunaan swasta dan awam serta aktiviti pelaburan yang kekal berdaya tahan.

Selain itu jelas beliau, pertumbuhan tersebut turut disokong sumbangan lebih besar daripada permintaan luar berikutan peningkatan eksport yang teguh.

‘‘Pertumbuhan yang dicatatkan adalah menyeluruh dengan kesemua sektor ekonomi mencatatkan pertumbuhan yang kukuh,’’ katanya.

Tambah beliau, sektor perkilangan meningkat 6.9 peratus mencerminkan pertumbuhan lebih tinggi bagi industri berorientasikan eksport dan dalam negeri.

Sektor perkhidmatan juga naik lapan peratus, sekali gus kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan, katanya.

Zeti berkata, sektor komoditi utama mencatatkan prestasi lebih baik hasil daripada pertumbuhan 6.3 peratus bagi sektor pertanian dan 3.7 peratus bagi sektor perlombongan.

‘‘Pertumbuhan sektor pertanian yang teguh disumbang oleh pengeluaran minyak sawit mentah yang lebih tinggi, sementara pertumbuhan lebih kukuh sektor perlombongan disokong peningkatan pengeluaran minyak mentah berikutan pertambahan keluaran daripada telaga minyak Kikeh di Sabah,’’ ujar beliau.

Jelasnya, sektor pembinaan terus mengekalkan pertumbuhan disokong oleh projek infrastruktur berkaitan dengan sektor minyak dan gas serta Rancangan Malaysia Kesembilan.

Tambah Zeti, permintaan dalam negeri meningkat pada kadar lebih tinggi sebanyak 10.1 peratus pada suku pertama 2008 dan perbelanjaan swasta bertambah 11.8 peratus disokong oleh pendapatan boleh guna yang terus meningkat.

‘‘Penggunaan awam juga meningkat 10.5 peratus ekoran perbelanjaan yang lebih tinggi terhadap emolumen, pertahanan, bekalan dan perkhidmatan,’’ katanya.

Bagi sektor luaran jelasnya, akaun perdagangan mencatatkan lebihan sebanyak RM26.8 bilion pada suku pertama tahun ini dengan eksport kasar bertambah 9.8 peratus iaitu kadar terpantas sejak suku ketiga 2006, terutama hasil daripada pertumbuhan kukuh eksport komoditi.

Beliau berkata, import kasar juga berkembang pada kadar lebih sederhana sebanyak 6.7 peratus terutama bagi import barangan pengantara lebih rendah khususnya input untuk industri elektrik dan elektronik.

Zeti memberitahu, bagi akaun kewangan, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) pada asas pembayaran tunai berjumlah RM6.8 bilion pada suku pertama tahun ini.

Daripada jumlah itu katanya, lebih separuh FDI disalurkan kepada sektor perkhidmatan, minyak dan gas serta perkilangan.

‘‘Pelaburan luar negeri oleh syarikat Malaysia pula mencatatkan aliran keluar bersih RM4.9 bilion,’’ tambah beliau.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda