Popular Today

Khamis, Mei 29, 2008

Menyuarakan Kekecewaan Bukan Bermakna Mahu Lompat Parti

Oleh Alan Ting

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Kebelakangan ini hangat diperkatakan mengenai anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) di Sabah dan malahan di Sarawak diumpan untuk berpaling tadah menyertai Pembangkang kerana mereka serta pengundi mereka didakwa dipinggirkan kerajaan persekutuan daripada segi jawatan Kabinet dan pembangunan.

Hal ehwal politik di negeri berkenaan telah menjadi topik perbualan atau perbahasan dalam negara berikutan anggota Parlimen terbabit telah menyuarakan rintihan dan rasa tidak puas hati mereka itu di Parlimen dan juga di media.

Rasa tidak puas hati mereka itu membabitkan jumlah sedikit jawatan menteri yang diberikan kepada wakil rakyat dari negeri berkenaan, kekurangan kemudahan infrastruktur dan isu sosial seperti kebanjiran pendatang asing tanpa izin.

Ahli politik di Sabah juga tidak ketinggalan membangkitkan hakikat bahawa "negeri di bawah bayu itu" telah memberikan kepada Barisan Nasional 24 daripada 140 kerusi BN di Dewan Rakyat atau kira-kira 17 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Ditambah dengan 30 kerusi daripada anggota Parlimen Sarawak, kedua-dua negeri itu memberikan 54 kerusi atau hampir 40 peratus daripada kerusi BN di Dewan Rakyat.

Pembangkang yang kini menguasai 82 kerusi di Dewan Rakyat, mendakwa mereka akan berjaya mendapatkan 30 kerusi lagi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah sebanyak 112 kerusi, pemerhati politik turut mengikuti dengan teliti sama ada ahli politik dari Malaysia Timur dijadikan sasaran untuk meninggalkan BN.

Sesetengah anggota Parlimen menolak mentah-mentah tanggapan bahawa mereka dari Sabah mungkin lompat parti dan mereka amat tersinggung dengan cadangan atau andaian seumpama itu.

"Jangan sembarangan menuduh kami akan berpaling tadah.

Sebaliknya kaji dengan mendalam apa yang kata telah katakan," kata anggota Parlimen Kimanis Datuk Anifah Aman semasa ditanya sama ada beliau pernah terfikir untuk lompat parti ekoran beliau agak lantang membangkitkan beberapa isu yang dihadapi negerinya.

"Ia telah sampai ke tahap mendidih. Bukan hanya dalam kalangan anggota Parlimen (di Sabah) tetapi juga rakyat biasa.

Tolong jangan mainkan isu ini dengan menuduh kami (berminat) untuk lompat parti. Jika gagal melihat kepada isu sebenar yang telah kami bangkitkan, dengan itu isu "lompat" (menyertai Pembangkang) mungkin menjadi kenyataan," katanya kepada Bernama.

Namun jika dilihat kepada komen-komen yang diberikan oleh ahli politik Sabah ketika ini, boleh membuatkan seseorang berfikir bahawa apa yang disuarakan itu lebih menjurus kepada mengugut kerajaan persekutuan.

Dengan kejayaan Pembangkang menguasai beberapa negeri pada pilihan raya umum baru-baru ini, adalah adil untuk mengatakan bahawa kepimpinan BN telah mengambil masa yang agak lama untuk bertindak dan membuat perubahan yang perlu.

Apa yang penting ialah perubahan dan penyesuaian perlu dilakukan, dengan mengambil kira kedudukan berbahaya BN sekiranya Pembangkang berterusan cuba mengumpan anggota Parlimen yang tidak berpuas hati.

Untuk itu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu menyelesaikan masalah itu secara berdepan kerana beliau akan berada di Sabah dalam masa beberapa hari lagi untuk membincangkan perkara itu demi kebaikan rakyat dan parti pemerintah.

Anifah, yang malahan menolak pelantikan sebagai timbalan menteri pengangkutan selepas pilihan raya umum 8 Mac, berkata rintihan dan kekecewaan yang dibangkitkan oleh anggota Parlimen dari Sabah dan Sarawak, akhir-akhir ini semakin lantang kerana mereka merasakan "tiada apa dilakukan setakat ini".

Pandangan beliau turut dikongsi anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin, yang berkata: "Ia telah berlaku terlalu lama. Kami sepatutnya bercakap mengenai meningkatkan taraf kehidupan tetapi (di Sabah) kami masih bercakap mengenai kekurangan kemudahan asas."

"Macamana kami nak bincang mengenai ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) sedangkan kemudahan asas pun tidak ada?" soalnya.

Kedua-dua mereka berkata rayuan daripada mereka dan juga rakyat yang mereka wakili dilakukan dengan penuh ikhlas, tidak lebih daripada itu.

Anifah turut memberikan perbandingan mengenai jurang pembangunan di antara Sabah dan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia: "Sebagai contohnya -- kita semua tinggal dalam sebuah banglo yang indah dan besar, tetapi hanya beberapa penghuni yang menikmati kemudahannya.

Hanya sedikit yang menikmati bekalan air paip tetapi yang lainnya menggunakan telaga. Sesetengahnya menggunakan pendingin hawa sedangkan lainnya malahan tidak mempunyai kipas."

Anifah, yang merupakan adik kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, berkata sebenarnya tidak timbul persoalan anggota Parlimen Sabah dan Sarawak akan berpaling tadah. Beliau berkata apa yang mereka lakukan adalah untuk memperjuangkan apa yang sepatutnya untuk rakyat di Sabah dan Sarawak.

"Meningkatkan infrastruktur, maksud saya infrastruktur asas, bukan minta benda-benda yang istimewa.

Saya telah menjadi anggota Parlimen sejak 1990 dan setiap kali kami balik ke kawasan, penduduk minta kami menunaikan janji kami. Mereka tanya bila air paip, elektrik dan jalan akan datang ke kawasan mereka.

Apabila kami kata kerajaan sedang mengusahakannya, mereka rasa seolah-olah kami bercakap bohong," katanya.

"Kami telah menjadi sebahagian Malaysia sejak 40 tahun lepas. Sehingga sekarang, masih banyak kawasan yang masih belum dihubungi jalan raya, tiada bekalan elektrik dan bekalan air bersih. Kami tidak boleh lagi cakap banyak, malahan janji yang lepas-lepas juga belum ditunaikan," katanya.

Anifah berpendapat pemimpin-pemimpin persekutuan perlu melawat ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak "untuk melihat sendiri" keadaan sebenar di kawasan yang amat memerlukan kemudahan asas.

"Sabah merupakan negeri kedua termiskin di Malaysia. Jika saya tak salah, paras kemiskinan ialah 23 peratus, lebih tinggi daripada purata peringkat kebangsaan," katanya.

Anifah agak marah dan terkilan dengan perbandingan bahawa peruntukan sebanyak RM3.5 bilion bagi kemudahan pendidikan di Sabah adalah lebih besar daripada dana yang disediakan bagi seluruh Pulau Pinang.

"Kenapa nak bandingkan Sabah dan Pulau Pinang sedangkan kawasan Parlimen di Sabah seperti Papar sendiri adalah sebesar Pulau Pinang?"

Anifah berkata pandangan sebegitu boleh menyebabkan anggota Parlimen dari Sabah berasa mereka dipinggirkan atau diabaikan.

Beliau berharap anggota Parlimen Sabah diberikan peranan yang lebih penting dalam Kabinet supaya mereka dapat membantu membangunkan negeri itu dengan lebih baik.

Bung Mokhtar berpendapat kekurangan wakil dari Sabah dalam barisan Kabinet boleh ditangani melalui rombakan Kabinet. Dalam soal itu, ia merupakan kuasa mutlak perdana menteri untuk diputuskan. "Kenapa kita tidak mempunyai satu lagi kementerian bagi Sabah dan Sarawak?" katanya dan menurutnya sudah ada kementerian bagi Wilayah Persekutuan.

"Masalah itu perlu diselesaikan sekarang. Jika tidak, dalam pilihan raya akan datang, negeri ini mungkin jatuh ke tangan Pembangkang, jika kita tidak berbuat sesuatu untuk rakyat dari sekarang."

Bung Mokhtar memberikan contoh kes sebuah klinik desa kerajaan yang amat daif di Pinangeh sedangkan hanya kira-kira RM800,000 diperlukan untuk membina klinik baru.

"Tetapi sehingga sekarang, peruntukan masih belum diberikan walaupun perkara itu telah dibangkitkan 15 tahun lepas.

Diambil kira -- itu yang kami mahukan. Berikan pembangunan yang adil kepada kami, ia merupakan perkara asas.

Bagaimana kami nak bercakap mengenai ICT apabila infrastrukturnya masih seperti 50 tahun lepas?" soalnya.

Anggota Parlimen Tenom Raime Unggi, ketika ditanya mengenai kemungkinan lompat parti itu, berpegang teguh kepada pendapat bahawa rakyat di Sabah dan Sarawak akan terus menyokong BN kerana mereka yakin hanya BN yang dapat membawa pembangunan.

Bagaimanapun, katanya pemimpin-pemimpin persekutuan tidak sepatutnya terus mengambil mudah perkara itu kerana ia sudah sampai ke tahap tidak akan mendapat sokongan sekiranya tiada apa dilakukan untuk memperbaiki keadaan.

"Misalnya, di kawasan saya, yang terletak di pedalaman, penduduk perlukan jalan raya untuk mengangkut produk pertanian ke pasar.

Mulanya, mereka boleh kata "kami dapat menanggung semua ini buat seketika kerana akan mengambil masa untuk membina jalan raya yang baik".

Tetapi selepas hampir 40 tahun dan masih tiada jalan raya, mereka akan tertanya-tanya sama ada BN masih boleh melakukannya."

Anggota Parlimen Serian Datuk Richard Riot, pernah dispekulasi akan menyertai Pembangkang selepas 8 Mac, berkata hakikat yang ahli politik menyuarakan kekecewaan penduduk yang diwakili mereka tidak bermakna yang mereka akan meninggalkan BN.

Menegaskan bahawa beliau berpendapat yang pengundi di kawasannya tidak diberikan perhatian sewajarnya berdasarkan hakikat bahawa walaupun kawasannya terletak hanya sejam perjalanan dari Kuching, hanya 70 peratus penduduknya mendapat kemudahan bekalan elektrik dan 40 peratus mendapat bekalan air dirawat.

Dan berdasarkan tahap pelaksanaan pembangunan di kawasan itu, beliau menjangkakan akan mengambil masa 20 tahun lagi bagi semua penduduk menikmati kemudahan asas itu. "Menyuarakannya bukan bermakna yang kami akan keluar BN. Umumnya, kami hanya mahukan lebih perhatian," kata Riot.

"Kami merayu diberikan peruntukan berdasarkan saiz kawasan, bukan kadar standard RM1.5 juta bagi setiap kawasan.

Bagi kawasan saya yang sebesar negeri Melaka, tidak banyak jalan raya dapat dibina dengan RM1.5 juta. Tidak perlu salurkan RM1.5 juta bagi kawasan di bandar kerana kebanyakan jalan raya telah dibina oleh pihak berkuasa tempatan."

Anggota Parlimen Kapit Alexander Nanta Linggi berkata menggunakan pendekatan mendesak bukan bermakna mahu mengugut kerajaan kerana anggota Parlimen dari Sabah dan Sarawak hanya membangkitkan isu asas dan keperluan yang masih belum ditunaikan yang perlu ditangani dengan serius.

"Contohnya, kami meminta dibina jalan raya dari Sibu ke Song dan Kapit sejak kami menyertai Malaysia (pada 16 Sept, 1963).

Bagaimanapun, sehingga sekarang ia masih kekal sebagai satu cadangan," katanya.

Kapit merupakan pekan yang terletak paling jauh di pedalaman Sarawak dan hanya boleh dihubungi melalui jalan sungai dengan mengambil masa dua jam perjalanan dengan bot laju dari Sibu.

"Di kawasan saya sendiri, penduduk perlukan banyak jalan raya. Lebih-lebih lagi kini dengan kenaikan harga minyak dan pengangkutan menggunakan sungai kini semakin mahal dan tidak boleh diharapkan.

"Kami perlukan jalan raya untuk mengurangkan kos pengangkutan. (Bayangkan) jarak antara Song dan Kapit hanya kira-kira 145 kilometer tetapi tidak dihubungkan dengan jalan raya. Kami telah meminta kemudahan ini sejak menyertai Malaysia.

Malahan mendiang datuk semasa hayatnya turut meminta perkara yang sama," kata Alex, yang merupakan cucu kepada mendiang Tun Temenggong Jugah, seorang daripada penandatangan bagi Sarawak semasa menyertai Malaysia.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda