Popular Today

Khamis, Mei 29, 2008

Pengerusi Gerakan WP Terima Tawaran Pakatan Rakyat Ketuai Pasukan Petugas Khas Mengenai Tanah

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Pengerusi Parti Gerakan Wilayah Persekutuan Datuk Dr Tan Kee Kwong hari Rabu mengesahkan bahawa beliau menerima tawaran daripada kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat untuk mengetuai pasukan petugas khas mengenai pengurusan tanah.

Tan, 61, yang juga bekas timbalan menteri tanah dan pembangunan koperasi, mengikut jejak langkah bekas timbalan setiausaha agung Datuk Lee Kah Choon yang menerima tawaran kerajaan Pulau Pinang yang ditadbir Pakatan Rakyat bagi mengetuai dua agensi kerajaan negeri -- investPenang dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

"Ya, saya telah menerima tawaran untuk menjadi pengerusi bersama bagi pasukan petugas khas enam anggota. Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri Selangor yang memberi kepercayaan dan menggunakan pengalaman saya untuk menangani urusan tanah.

"Banyak perkara yang perlu dilakukan dan kami telah diberi masa tiga bulan untuk mengemukakan laporan kepada Kerajaan Selangor berhubung hak milik tanah," katanya kepada Bernama ketika dihubungi Rabu malam.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari Rabu mengumumkan pembentukan pasukan petugas khas enam anggota yang dipengerusikan bersama oleh Tan dan Datuk Dr Nik Mohd Zain Nik Mohd Yusof.

Tan merupakan timbalan menteri tanah dan pembangunan koperasi daripada 1999 hingga 2004 manakala Mohd Zain adalah ketua setiausaha kementerian berkenaan daripada 1996 hingga 2002.

Ditanya mengapa beliau menerima tawaran berkenaan, Tan berkata : "Seperti yang anda tahu, saya sering kali dilihat sebagai duri dalam daging atau pembuat kacau di dalam parti."

"Saya telah mencuba melakukan sesuatu untuk Gerakan tetapi sering dianggap sebagai seorang yang menentang sistem. Saya telah berusia 61 tahun sekarang dan saya berasa gembira apabila Tan Sri Khalid ingin menggunakan pengalaman saya. Parti saya tidak menghargai saya," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan meletak jawatan daripada parti, Tan berkata: "Biarlah pemimpin parti membaca berita ini esok dan lihat apa yang mereka akan lakukan."

Sementara itu, Setiausaha Agung Gerakan Datuk Seri Chia Kwang Chye apabila dihubungi berkata parti itu ingin mendengar sendiri apa yang ingin diperkatakan Tan mengenai keputusannya menerima tawaran Kerajaan Selangor sebelum membuat apa-apa kenyataan.

"Setakat itu sahaja komen saya. Sehingga kini, kami masih belum menerima apa-apa pemberitahuan daripada beliau," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda