Popular Today

Khamis, Mei 29, 2008

Grand Saga: Syarikat konsesi, pemaju mesti selesai isu segera

KUALA LUMPUR 28 Mei - Polis menasihatkan kedua-dua pihak yang terbabit dalam isu penutupan jalan ke kawasan perumahan Bandar Mahkota Cheras supaya menyelesaikan masalah mereka seberapa segera.

Syarikat yang terlibat ialah syarikat konsesi Lebuh Raya Cheras-Kajang, Grand Saga Sdn. Bhd., (Grand Saga) dan syarikat Narajaya Sdn. Bhd., (Narajaya) pemaju kawasan perumahan tersebut.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar (gambar), berkata, kedua-dua pihak mesti mencari jalan sama ada melalui tindakan undang-undang atau menerusi perundingan bagi mengelak keadaan menjadi bertambah buruk.

''Ini kerana pihak polis tidak terlibat dalam perkara ini, kita hanya mampu memantau keadaan agar aman dan tenang serta tidak bergaduh.

''Saya percaya, pihak yang tidak sehaluan ini cuba memperjuangkan hak masing-masing tetapi mereka juga perlu mengambil kaedah penyelesaian terbaik bagi mengelak pergaduhan berlaku,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jalan Semarak di sini hari ini.

Perjanjian itu bertujuan mempertingkatkan kepakaran PDRM dalam bidang sains forensik agar sejajar dengan kemajuan kes-kes jenayah yang semakin canggih menerusi perkongsian bijak dengan UTM.

Insiden terbaru, beberapa penduduk dan pemberita termasuk jurugambar Utusan Malaysia cedera akibat diserang sekumpulan lelaki dengan kayu, topi keledar dan paip besi dalam kekecohan di Lebuh Raya Grand Saga, malam semalam.

Ketika kejadian, seramai 200 penduduk sedang merobohkan tembok yang dibina buat kali kedua oleh Grand Saga selepas pemasangan penghadang konkrit oleh Grand Saga turut mendapat bantahan penduduk, 7 Mei lalu.

Difahamkan penduduk bertindak demikian kerana jika laluan itu disekat menyebabkan mereka terpaksa membuat lencongan sejauh lapan kilometer dan membayar sekurang-kurangnya dua tol sehari untuk keluar dan masuk ke kawasan perumahan tersebut.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai perkembangan siasatan kes rasuah bola sepak dalam pasukan PDRM, Ismail memberitahu, ia kini di peringkat akhir untuk disiapkan.

Beliau berkata, apabila semua bukti sudah dikumpulkan ia akan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda